Sabtu, 4 Januari 2020

        Aku terpaku dari letih yang menyelubungi tubuhku. Baru aku mengerti bahawa kita tidak punya apa-apa. Bahkan udara yang dihirup ini pun hanya pinjaman dari Ilahi. Namun, sebaris persoalan mula muncul di benakku. Mengapa masih lagi ada manusia yang tidak menghargai nikmat yang Allah berikan? Mengapa masih lagi angkuh dan sombong? 

     Aku tidak mahu menjawab, biarlah yang membaca merenung dan menjawab sendiri. Bukankah manusia hari ini suka menilai sendiri tentang sesuatu perkara meskipun tidak mengetahui tentang itu? Bukankah manusia hari ini lebih sibuk menjaga tepi kain orang berbanding berusaha membetulkan diri sendiri?

     Itulah yang berlaku dalam dunia moden sekarang ini. Pemikiran masyarakat masih lagi terkebelakang itu tidak dapat aku nafikan. Sudah banyak yang mengatakan  hal ini. Apa yang aku pelajari sepanjang aku menuntut di universiti, aku jumpa dua jenis manusia. Satu, manusia yang sayang akan diri kita. Dua, manusia yang dengki dengan kelebihan kita. Aku tidak mahu perkatakan tentang manusia yang mempunyai hasad dengki. Tetapi, aku ingin memberitahu akan kisah orang yang sayang akan diri kita.

     Ketahuilah, orang yang sayang dengan kita itu adalah orang selalu menginginkan yang terbaik untuk kita. Aku ada beberapa orang kawan yang selalu menyayangiku. Selalu memberi sokongan terhadapku. Selalu ada denganku. Sebagai kawan, aku tidak terlepas dari melakukan kesalahan dalam semua perkara. Mungkin terkadang aku menyakiti hati mereka secara sengaja atau tidak sengaja. Di sini, apa yang aku mahu kongsikan dalam persahabatan harus ada saling memaafi. Ada satu hal juga yang perlu aku beritahu, aku sayang semua orang.

Salam Maaf dan Salam Sayang

  

Jumaat, 3 Januari 2020

Sedikit Coretan



Sudah terlalu lama aku tidak menulis dalam blog ini. Aku hampir terlupa yang aku ada akaun blog sendiri. Semalam, 3 Januari 2020, aku  terlihat 'story whatsapp' salah seorang kenalanku yang menyiarkan link blog miliknya. Lalu, aku teringat aku pun ada akaun blog. Memandangkan banyak cerita aku nak kongsi. Aku berfikir ini adalah masanya untuk aku menulis. Walaupun aku sendiri tidak tahu cara menulis dengan berkesan.  Jadi, aku tulis apa yang aku ingin tulis. Aku tulis dengan cara aku. Sengaja aku biarkan aksara di skrin komputer riba ini ditaip oleh jariku. Biarkan apa yang tertulis adalah mainan fikiranku pada ketika ini. 

Hakikat sebenar, aku tidak tahu di mana tempat aku meluahkan segala isi hati yang terbuku. Aku rasa di sini barangkali tepat. Mungkin hari ini bukan hari yang tepat untuk aku meluahkan segalanya. Mungkin lain waktu. Aku terpaksa berjuang untuk peperiksaan akhir dan menyiapkan Projek Ilmiah Tahun Akhir untuk bacelor sastera. 

Doakan aku berjaya di dunia dan di akhirat. Apa yang aku rancang pada 2020 berjalan dengan lancar.


Salam 2020 dariku..


KISAH PENA

 yang terbaik semestinya memakan waktu